Friday, October 19, 2007

Solat Jumaat Pertama

Pada hari Jumaat 19 Oktober 2007 bersamaan 7 Syawal 1428, satu lagi sejarah telah tercipta di Surau Saujana Impian di mana Solat Jumaat yang pertama telah didirikan.

Surau ini berkapasiti lebihkurang 1300 orang, di mana 800 orang di ruang solat utama dan 500 orang di bahagian serambinya. Namun menurut lapuran awal, Surau Saujana Impian telah dipenuhi seramai anggaran 1500 orang di hari pertama solat jumaat ini dilaksanakan, walaupun ada juga ahli jemaah yang melapurkan jumlah yang hadir melimpahi sehingga 1700 orang.

Ini mengesahkan keperluan untuk mempunyai kemudahan solat jumaat di kawasan ini tetapi di masa yang sama menimbulkan tandatanya samada kapasiti surau ini dapat menampung jumlah jemaah yang seramai ini di dalam masa-masa yang mendatang.

Apa yang pasti, kawasan serambi surau perlu segera dilengkapi dengan "awning" kerana hujan yang lebat akan pasti membasahi ruang solat tersebut, dan ini sudah pasti akan meresahkan ahli jemaah yang bersolat.

Namun, setinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadhrat Ilahi dan ribuan terimakasih kepada Jabatan Agama Islam Selangor yang mentadbir kelulusan solat jumaat ini dan sekalung tahniah untuk seluruh ahli kariah yang tidak jemu-jemu berdoa untuk memastikan kejayaan bersama ini.

YBhg Tuan Kadhi Daerah telah sudi menjadi khatib bagi solat jumaat yang pertama ini dan barisan AJK ingin merakamkan rasa penghargaan di atas kesudian beliau untuk meluangkan masa berkongsi saat yang bersejarah ini.

Untuk rekod, jumlah kutipan untuk solat jumaat yang pertama ini berjumlah RM2,053.00

2 comments:

Anonymous said...

Alhamdulillah... At last Allah makbulkan harapan kita semua warga Saujana Impian untuk melihat Solat Jumaat berlangsung di Surau kita yang indah ini....

Cuma satu harapan saya... agar para pengelola (AJK) dapat mengambil kira keselesaan para jemaah yang makin bertambah dari masa ke semasa

Naim said...

Assalammualaikum;

Saya rasa AJK serta pegawai-pegawai Surau telah berhempas-pulas berfikir dan bekerja untuk memberikan keselesaan kepada jemaah. Hawa dingin 10 unit, system PA canggih serta tambahan tingkap-tingkap sliding yang mencecah perbelanjaan puluh ribuan ringgit merupakan hasil timbang-cara AJK-AJK serta pegawai-pegawainya untuk mempertingkatkan keselesaan semua. Kalau kita rasa ada apa-apa lagi kekurangan, hendaklah kita nyatakan SECARA SPESIFIK dan lebih baik lagi, beri cadangan atau sumbangan membina.

Maaf Zahir Bathin